27/04/2026
Sekali lagi, Mesyuarat Agung PSP telah berjaya dilaksanakan. Kali ini, kami berbesar hati kerana mendapat kebenaran untuk mengadakannya di Auditorium Muzium Kepolisian atas ihsan pihak PDRM.
Pendaftaran bagi 60 orang tetamu jemputan dan ahli berjalan dengan lancar, di mana setiap peserta turut menerima cenderahati. Tepat jam 10.30 pagi, mesyuarat dimulakan dengan ucapan Pengerusi yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli, tetamu jemputan serta Tuan Rumah, YBhg. ACP Mohammad Sabri bin Haji Abdul Kadir, atas kesudian menerima permohonan kami untuk menganjurkan AGM di lokasi tersebut.
Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan laporan keahlian, aktiviti sepanjang tahun lalu serta laporan kewangan. Seterusnya, sesi lain-lain perkara dibuka kepada semua yang hadir bagi berkongsi pandangan dan cadangan.
YBhg. ACP Mohammad Sabri bin Haji Abdul Kadir dalam ucapan alu-aluannya menyatakan sokongan terhadap usaha murni PSP dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jasa veteran serta anggota yang masih berkhidmat. Encik Azril dari Wira TV turut merakamkan penghargaan kepada PSP atas kerjasama dalam merealisasikan produksi filem “Soldiers From Foreign Land”, dan kami mendoakan kejayaan filem tersebut menjelang pelancarannya.
Cik Olivia Lim yang mewakili industri pelancongan p**a berpandangan bahawa aktiviti PSP berpotensi menjadi tarikan pelancongan, dan mencadangkan kerjasama strategik antara PDRM, ATM dan Kementerian Pelancongan melalui penyediaan kertas kerja yang komprehensif.
Lt Kol Mohd Arif bin Ahmad Suparman mengucapkan tahniah kepada kepimpinan PSP serta mencadangkan agar lebih ramai generasi muda dilibatkan, termasuk melalui platform seperti podcast. Lt Kol Muhammad Zuraiman bin Abdul Ghani p**a berkongsi pengalaman penglibatan beliau secara tidak langsung dalam penubuhan PSP, serta perkembangan projek Galeri Dataran Pahlawan di Putrajaya yang diharapkan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Kurator Muzium Tentera Darat, Mejar Zairol bin Haji Zakaria, menyuarakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan PSP serta mencadangkan agar generasi muda diberi peluang menyertai Ahli Jawatankuasa pada masa hadapan.
Mesyuarat kemudiannya ditangguhkan dan diteruskan dengan jamuan minum pagi. Para peserta seterusnya dibawa melawat tiga galeri Muzium Kepolisian oleh Inspektor Firdaus, yang memberikan penerangan menarik mengenai sejarah pasukan PDRM yang telah melebihi 200 tahun. Lawatan ini membuka peluang kepada ahli PSP untuk menimba ilmu serta menghargai pengorbanan anggota keselamatan. Orang ramai juga digalakkan untuk membawa keluarga dan sahabat mengunjungi muzium ini.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari serta acara cabutan bertuah, di mana pelbagai hadiah telah disediakan untuk para hadirin.
Kepimpinan dan ahli PSP amat menghargai layanan mesra, profesional serta kepercayaan yang diberikan oleh YBhg. ACP Mohd Sabri, para pegawai dan anggota PDRM. Semoga jalinan kerjasama erat ini dapat diteruskan pada masa hadapan.