29/04/2026
π§π¨π π£ππ‘π ππππ¨: π£ππ πππ‘πππ‘ π‘ππππ₯π πππ‘ππ¦π
Pembinaan negara bangsa bukanlah semudah membeli perabot pasang siap IKEA, buka kotak, pasang skru dan voila!! Ia bukan satu perjalanan yang lurus dan ringkas. Dibina perlahan-lahan melalui pengalaman sejarah, rundingan, kesediaan untuk saling memahami dan bertolak ansur serta kematangan perundangan. Sejarah negara melalui zaman yang sangat panjang. Menyaksikan kuasa asing menjadi tuan dan bertualang. Persekutuan Tanah Melayu 1948 wujud apabila semua pihak sedar bahawa hidup bersama memerlukan persetujuan bersama, walaupun tidak semua perkara sempurna. Awalnya, yang lebih diutamakan ialah kestabilan dan kebersamaan ke arah berkerajaan sendiri kerana negara yang mahu dibina bukan untuk hari ini tetapi untuk tempoh yang panjang.
Apabila kemerdekaan 1957 dicapai, negara ini melangkah ke hadapan dengan tertib undang- undang dan perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kehidupan bernegara mengikat semua pihak kepada nilai keadilan, hormat dan kesaksamaan. Walaupun tidak semua orang gemar membaca dokumen perundangan yang tebal, hakikatnya ia berfungsi sebagai dokumen penyatu, pengikat semangat bahawa perjuangan negara memerlukan kesinambungan, bukan penolakan terhadap asas yang telah memelihara keharmonian. Di sinilah kemerdekaan difahami sebagai kebebasan yang datang bersama tanggungjawab.
Pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memperluas semangat ini dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sebagai rakan dalam sebuah persekutuan. MA63 menekankan keseimbangan antara hak dan peranan, antara autonomi dan perpaduan. Mengingatkan bahawa penambahbaikan sentiasa boleh dibincangkan, namun asas persetujuan perlu dipelihara. Negara yang matang ialah negara yang menghargai sejarahnya, memelihara perjanjiannya, serta melangkah ke hadapan dengan kesedaran bahawa kestabilan hari ini ialah hasil persefahaman semalam. Negara bangsa yang kukuh bukan yang sering kembali ke titik mula, atau Perlembagaannya sentiasa diβalterβ ikut s**a. Tetapi tahu menghargai persetujuan asal, menyesuaikan keperluan semasa dengan bijaksana, dan terus melangkah ke hadapan
dalam semangat saling hormat dan percaya.
Penafian: Jabatan Muzium Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang lontaran pandangan dan pendapat. Raikan perbezaan dan kita sokong antara satu sama lain.
Kementerian Perpaduan Negara