03/02/2025
OFFICIAL OPENING : 3 PM. WEDNESDAY. 5TH FEBRUARY.
EVERYONE'S WELCOMED.
kam.ceng.
Gerak Hati dan Rentak Persahabatan.
Pertembungan empat sekawan diruang pusat membeli-belah untuk menampilkan hasil kerjaya kesenimanan bukanlah bersifat gerakan sosial politik yang akan mengoncang minda ataupun memanah rasahati pengunjung dengan anjakan kegeraman. Mereka tidak berniat untuk mendarahkan ruang pameran dengan kemarahan maupun kekecewaan.
Pastinya Buden, Boi, Katun dan Joy masih tetap bertahan bahawa kesenimanan adalah perjalanan berlandaskan 'kebenaran dan keindahan' __ satu pengabdian menuju kemurnian mutlak. Pengunjung pameran haruslah berdoa bersama-sama. Ameen.
Disebalik rupa bentuk karya yang jarang menampilkan kecantikan yang biasa dilihat atau difahami, ialah kekuatan pemikiran yang sentiasa mempersoalkan tentang pergolakan kehidupan manusia -- dan juga diri mereka sendiri: " Apa, Kenapa Begini dan Sehingga Begitu Sekali? ".
Samsudin, Haslin dan Zulkefli pernah menjuarai hadiah utama pertandingan Bakat Muda Sezaman pada tahun 2019, 2010 dan 2023. Sementara Faizal p**a dianugerah oleh para Juri Pameran Terbuka pada tahun 2014.
Pameran yang dikurasikan secara intuitif oleh seniman masing _ tanpa gangguan sang kurator _ merupakan salah satu cara buat para artis mengembalikan otonomi diri dalam pengkaryaan.
Buden, Boi, Katun dan Joy berharap semua pengunjung akan menghayati inti rasahati mereka dengan sifat terbuka dan pemurah.
Buden menampilkan sebuah catan yang besar dari siri Tanggungjawab Pemegang Panji dan beberapa gurisan dari siri Rindu Bayangan. Karya beliau sentiasa menarik dan mampu bertahan zaman.
Boi menampilkan beberapa karya berasal printage yang diinspirasikan oleh perubahan alam yang begitu hampir dengan kehidupan seharian beliau. Malah mungkin inilah gambaran abstraksi dari jendela kamar studio beliau.
Katun masih meneruskan perjalanan mencatat bentuk ‘ perubahan rupa’ - ‘ shape shifters’, yang tidak melulu sekiranya pengunjung berpendapat beliau beroleh inspirasi dari pengolahan serta pembawaan kepimpinan sosial politik negara , dan diserata dunia. Memang kelihatan sekali unsur surrealisma dan magic realism didalam karya Katun. Walaubagaimanapun , tidak siapa yang berani menafikan bahawa Katun memang seorang ‘drawer'- ‘pelakar’ yang hebat.
Joy p**a menampilkan sebuah versi karya penafsiran pergolakan manusia yang mengambil keputusan menjadi migran ekonomi, politik ataupun mencari kehidupan baharu.
Ini adalah karya kesinambungan beliau seusai menjuarai pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023, di mana Joy mengutarakan beberapa aspek tentang migrasi manusia, ketidak-kekalan kuasa , pembawaan selepas migrasi __ samada assimilasi ataupun integrasi.
Mereka berempat amat berbesar hati berpeluang merapatkan diri dengan warga peminat senibudaya dan sosial negara.
Semua dipersilakan !
Jaafar Ismail
Penasihat Ringan
Kuala Lumpur,
3 Februari 2025